Enter Keyword

Pemergian Yang Mengejutkan

Assalamualaikum wbt.

Semalam 16 Disember 2015, seawal 7.30 pagi, keluarga kami dikejutkan dengan berita bahawa abang tiba-tiba jatuh pengsan dan dikejarkan ke unit kecemasan. Beberapa minit kemudian kami mendapat tahu abang telahpun meninggal dunia.

Dalam keadaan percaya tak percaya, sebab semalamnya kami masih bersembang macam biasa di grup whatsapp. Dapat je berita tu kami pun bergegas siap-siap ke rumahnya di Pekan.

Sampai je rumah, terus cari kakak ipar. Saya lihat mayat arwah abang sudah berada diruang tamu. Tak dapat menahan rasa hati, laju saja air mata ini turun. Melihat pula wajah anak-anak arwah yang seramai 3 orang, lebih pilu hati ini.


Dalam keluarga kini ada 9 orang anak yatim. Empat orang adik beradik sudah agak besar, arwah ayah mereka (abang ipar saya) meninggal akibat ashtma. Dua orang adik-beradik lagi arwah ayah mereka (juga abang ipar) meninggal akibat kemalangan jalan raya awal tahun lalu. Kini lagi tiga beradik menjadi anak yatim.

Mengikut cerita, arwah abang ini sempat menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid dengan 3 orang anak lelakinya. Kemudian selesai solat, sempat pula menikmati sarapan pagi di kedai. Pulang kerumah, abang tolong kakak ipar jemur kain sementara kakak ipar bersiap untuk menghadiri peperiksaan di Kuantan.

Tiba-tiba arwah abang rebah semasa sedang menjemur kain, dan terus tidak sedarkan diri. Kakak ipar bawa beliau ke unit kecemasan pun doktor kata keadaannya 50-50. Dan tak lama lepas tu arwah menghembuskan nafas terakhirnya.

Kami masih lagi dalam keadaan terkejut. Sangat tak sangka. Arwah abang tak pernah mengadu sakit. Cuma ada kencing manis (tak pasti pula beliau terima rawatan atau tak). Semasa di unit kecemasan doktor kata ia serangan jantung.

Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita dikembalikan.

Ya, mati itu tak pernah bagi amaran. Sihat wal afiat macam mana pun, bila sampai masanya, malaikat Izrail datang menyentap nyawa tanpa belas kasihan.

Mati itu sesungguhnya peringatan dan penasihat kepada jiwa. Mati itu pasti. Mati itu benar.

"Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula mempercepatkannya"
-  Al-A'raaf:34

Ambillah pengajaran dari sebuah kematian.

1. Jangan menangguh terutama dalam urusan akhirat seperti solat, hutang, harta, zakat dan sebagainya.

2. Layanilah orang sekeliling kita dengan baik. Ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, saudara-mara, kawan-kawan malah sesiapa sahaja. Takut kita tak sempat meminta maaf daripada mereka andai salah seorang pergi dulu.

3. Jaga kesihatan. Ya, suplemen harga beribu sekalipun tetap tidak mampu menolak kematian. Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk sihat agar dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik sementara masih hidup.

4. Buat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Jalani rawatan.

5. Buatlah kebaikan dan amal soleh sebanyak-banyaknya. Yang mengikut kita hanya 3

  • sedekah jariah
  • ilmu yang di berikan lalu dimanfaatkan oleh orang lain
  • doa anak yang soleh
Kita tak tahu amalan yang mana yang menjadi penyelamat kita di sana nanti.

Buat abangku Khairul Anuar bin Budin, semoga tenang di sana. Semoga Allah mengampunimu, merahmatimu, mengasihanimu, dan memasukkanmu ke dalam golongan orang yang beriman dan soleh. Amiin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan