Enter Keyword

12 Tips Berjaya Susukan Anak Hingga Dua Tahun Walau Pernah Gagal Sebelumnya

Semalam, keributan melanda lagi di media sosial gara-gara wanita terjun bangunan lepas bersalin kerana di katakan gagal menyusu badan anaknya. Maka berperanglah ibu-ibu yang pro-breastfeeding dengan ibu-ibu yang hanya memberikan susu formula kepada anaknya.

Saya bukan berniat nak memanjangkan 'pergaduhan' itu. Mari kita fikir positif dan ambil iktibar dengan apa yang berlaku.

Saya juga adalah ibu yang gagal menyusukan anak pertama dengan susu ibu. Akibat langsung tiada ilmu, dan mindset saya yang salah, saya hanya berjaya susukan Muhammad Ammar hingga 10 bulan sahaja. Alhamdulillah.

Sejujurnya saya tidak pernah menganggap diri saya gagal pun. Sebab saya sendiri tidak pernah ambil tahu apa-apa mengenai penyusuan. Langsung! Saya tak pernah tahu bahawa menyusukan bayi juga perlu ilmu dan kefahaman yang betul.


Sehinggalah, entah macam-mana ilmu mengenai penyusuan ini mula sampai menderu-deru kepada saya. Bermula apabila saya terjumpa ayat ini semasa saya membelek-belek Terjemahan Dan Tafsir Al-Quran di rumah saya.

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula memberi belanja ibu anaknya itu dan pakaiannya secara ma'ruf. Tiadalah di berati seseorang, melainkan sekadar tenaganya. Tiadalah melarat ibu kerana anaknya, dan tiada pula melarat bapa kerana anaknya; dan terhadap warispun demikian juga. Jika kedua ibu bapa hendak menceraikan anaknya dari menyusu (sebelum cukup dua tahun), dengan kesukaan dan kesepakatan antara keduanya, maka tiada berdosa keduanya. Jika kamu mengkehendaki perempuan lain menyusukan anakmu, maka tiada berdosa bila kamu berikan upahnya secara ma'ruf. Takutlah kepada Allah dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan"
-Al-Baqarah:233

Hati saya mula di jentik untuk ambil tahu dan mencari maklumat mengenai penyusuan susu ibu. Syukurlah Allah permudahkan apabila DIA temukan saya dengan rakan-rakan yang amat membantu dan mempunyai banyak ilmu berkaitan penyusuan ini.

Syukur juga, Allah akhirnya mengizinkan saya menyusukan anak kedua saya Muhammad Aqil Qayyim sehingga genap dua tahun. Saya kini dalam proses menggenapkan tempoh dua tahun anak ketiga, Ahmad Fawwaz Faiz. Semoga Allah permudahkan. Amiinn.

Wahai ibu, mari kita fikir positif daripada tragedi di atas, ambil iktibar dan berbaik sangka.

1. Bila ada rakan cerita mengenai penyusuan susu ibu, jangan sentap atau menuduh mereka riyak, sebaliknya kutiplah ilmu itu. Mana tahu boleh kita aplikasikan kepada anak kita pula nanti.

2. Bila ada rakan cerita mengenai anak minum susu formula, jangan hakimi (don't jugde). Jangan menghukum, menghina atau merendah-rendahkan (saya berpesan kepada diri sendiri juga yang adakala terlupa).

3. Bila Allah beri rezeki rakan kita dapat susukan anak genap dua tahun, berbanggalah dengan dia. Sesungguhnya bukan mudah nak berjaya sedangkan kita sendiri tidak dapat menyusukan anak dengan susu ibu.

4. Tidak berdosa menyusukan anak dengan susu ibu. Juga tidak berdosa menyusukan anak dengan susu formula.

5. Jika ada rakan sedang berusaha (baca: struggle) nak berikan anak susu ibu, berilah kata-kata semangat, nasihat dan titipkan kata-kata pendorong.

6. Bila nampak ibu sedang menyusukan anak di khalayak, jangan memandang serong. Ibu itu sedang membahagiakan anaknya.

7. Jangan membanding-bandingkan anak, tidak kira dia anak susu ibu atau anak susu formula. Anak itu sentiasa hebat dan unik dengan cara mereka sendiri.

Bagi wanita atau ibu yang ada impian untuk melaksanakan penyusuan susu ibu sehingga dua tahun atau lebih, tidak kiralah untuk anak yang ke berapa pun, tanamkan mindset betul-betul.

Tips ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri.

1. Banyakkan membaca dan menggali ilmu. Join grup penyusuan, baca blog/ laman web berkaitan, baca buku atau majalah berkaitan. Apa saja ilmu, terima dengan hati terbuka dan lapang.

2. Bergaul dengan rakan-rakan yang punya misi yang sama dengan kita untuk mengekalkan semangat, aura dan 'circle' positif  kita.

3. Abaikan kata-kata negatif orang lain terhadap kita. Jadilah selenge, katak pekak, apa-apa aja asal kita tidak mudah goyah dan patah semangat.

4. Banyakkan bertanya pada mereka yang arif, pakar dan berpengalaman.

5. Dapatkan sokongan suami dan ahli keluarga. Biar ahli keluarga tak sokong, asal suami sentiasa memberi sepenuh galakan.

6. Persediaan fizikal juga penting bagi sesetengah ibu contohnya keperluan mengepam susu.

7. Kesihatan tubuh badan. Bila ibu ada masalah yang menyebabkan ibu memang tidak di benarkan untuk menyusukan bayi (sama ada memudaratkan ibu atau bayi) oleh pakar perubatan, maka itulah yang terbaik.

8. Makanlah makanan yang berkhasiat yang lengkap seperti dalam piramid makanan. Makan berzat amat penting untuk penghasilan susu ibu yang lancar.

9. Pertimbangkan galagtagogue (makanan tambahan) untuk meransang pengeluaran susu. Itupun setelah semua konsep dan 'peraturan' di ikuti dengan baik.

10. Sentiasa happy dan ceria. Stress atau tekanan menyebabkan pengeluaran susu terganggu. Ini juga sebab utama kenapa ramai ibu gagal menyusukan anak walaupun baru lepas bersalin.

11. Percaya dan yakin dengan diri sendiri. Ibu yang was-was, ragu-ragu sering gagal dalam penyusuan susu ibu.

12. Banyakkan berdoa supaya Allah beri rezeki susu ibu kepada anak, seterusnya Allah bantu dan permudahkan sehingga genap dua tahun.

Memberi susu ibu adalah tanggugjawab yang mesti di utamakan, namun tidaklah menjadi satu kesalahan jika ibu memilih untuk menyusukan anak dengan susu formula kerana setiap ibu sudah tentu mahukan yang terbaik untuk anak masing-masing.

Saya percaya setiap ibu ada sebab tersendiri kenapa mereka memilih untuk berikan anak susu ibu atau susu formula. Setiap orang ada alasan dan setiap orang percaya apa yang mereka mahu percaya.

Bagi saya, susu ibu tetap yang terbaik!

Salam Sayang...

~Suhaila Budin~
012-9645614
ID: 868994

2 ulasan:

  1. Betul tu kak sue, tak semua orang mampu susukan anak selama 2 tahun. Mungkin mereka ada masalah kesihatan atau sebagainya. Yang penting kita jangan judge orang kan. Thanks for the tips =)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yup..kita berkongsi apa yang baik..terpulanglah pilihan masing-masing.

      Padam