Enter Keyword

8 Komplikasi Bahaya Tekanan Darah Tinggi Tidak Di Kawal

Perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari (yang saya ambil dari wall Dr. Zubaidi untuk panduan dan rujukan saya).


"Eh, mak cik tak sangkalah waktu tu. Tiba-tiba je lepas dia balik surau, pakcik mengadu lenguh-lenguh badan sebelah kiri.

Dalam pukul 12 malam tu, dia tumbang. Terkencing, tak boleh nak kawal.

Pukul 1 lebih barulah makcik teringat nak panggil ambulans.

Dibawalah pakcik ke Hospital Mersing, lepas tu terus ke JB. Doktor bagitahu, ada darah beku dalam kepala. Tekanan darah pun tinggi betul, sampai 200!

Masa tu, keadaan pakcik macam sedar tak sedar aje..."

Panjang dia bercerita.

Dah 2 tahun, wanita tu jaga suaminya yang diserang angin ahmar.

Daripada asalnya langsung tak boleh bercakap dan menelan makanan, Alhamdulillah kini dah mula boleh bersuara sepatah-patah.

Makan pun dah boleh berkunyah sendiri.

"Sebelum kena stroke tu, pakcik memang ada tekanan darah tinggi ke?" Aku sekadar bertanya.

"Ada doktor. Tapi itulah, pakcik ni degil. Ubat darah tinggi tak nak makan. Dia kata dulu badan dia sihat aje. Tak rasa sakit apa-apa pun." Balas wanita tu.

****

Inilah sebahagian daripada kisah-kisah yang biasa saya jumpa. Samada waktu ziarah semasa aktiviti home visit atau semasa tugasan di hospital.

Cerita yang hampir serupa, hanya orang yang mengalaminya berbeza.

Tahu ada darah tinggi, tapi tak nak ubah lifestyle. Ubat dah dibekalkan untuk kawal tekanan darah, tapi enggan makan sebab masih terasa sihat.

Akibatnya, bila penyakit tu tiba-tiba 'meletup', beban dan kesan penyakit tu bukan setakat menyusahkan pesakit, bahkan memberatkan orang sekeliling.

****

Kawan-kawan, sekiranya kalian adalah seorang anak yang mempunyai ibu atau ayah yang disahkan memiliki masalah tekanan darah tinggi, ambil tahu keadaan mereka.

Banyaknya komplikasi berbahaya boleh berlaku pada ibu ayah kalian jika tekanan darah tidak dikawal secara serius:

1. Kerosakan pada salur darah menjadikan salur darah mereka semakin keras dan tebal (arteriosclerosis) serta semakin sempit  (atherosclerosis).

Ianya menyebabkan bekalan oksigen dan nutrien pada organ penting dalam badan seperti jantung, otak dan buah pinggang berkurangan.

2. Tekanan darah tinggi berterusan dan tak terkawal menyebabkan dinding salur darah lemah dan menipis (aneurysm).

Salur darah yang lemah akan mudah pecah, seterusnya mengakibatkan pesakit meninggal dunia kerana kehilangan darah.

3. Mudah diserang penyakit jantung disebabkan tekanan darah tinggi mengurangkan bekalan darah pada jantung. Kelewatan menerima rawatan boleh membawa pada kematian.

4. Jantung membengkak  dan dinding jantung menjadi lemah. Akhirnya berdepan dengan kegagalan jantung (heart failure)

5. Bekalan darah ke otak yang berkurangan mendedahkan pesakit kepada serangan angin ahmar (stroke).

6. Kerosakan pada salur-salur darah buah pinggang menyebabkan air dan toksin berkumpul dalam badan. Jika ianya berterusan, ibu ayah kalian mungkin memerlukan rawatan dialysis atu renal transplant.

7. Pendarahan dalam mata mungkin berlaku, seterusnya penglihatan mula kabur dan jadi buta. Keadaan memang akan jadi lebih teruk sekiranya turut sama memiliki penyakit kencing manis.

8. Tekanan darah tinggi mengakibatkan jumlah kalsium dalam badan berkurangan, lantas menyebabkan tulang jadi makin rapuh (osteoporosis).
.

Justeru, ingatkanlah selalu insan yang kalian sayangi supaya mereka berjaga-jaga. Semua itu sebenarnya boleh dielak daripada berlaku, dengan syarat tekanan darah sentiasa dikawal dengan baik.

Semoga bermanfaat.

#notaDrALB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan