Selasa, 12 Mei 2015

14 Kelebihan Menyusukan Bayi Dengan Susu Ibu

Menyusukan bayi adalah satu pengalaman yang amat indah bagi seorang wanita bergelar ibu. Selain membekalkan makanan terbaik untuk si manja, susu ibu juga mampu merapatkan ikatan emosi antara ibu dan anak.

Penyusuan susu ibu telah di rakam secara jelas dalam Al-Quran melalui surah Al-Baqarah ayat 233. Inilah yang mendorong dan memotivasikan saya untuk menyusukan anak-anak saya dengan makanan terbaik dunia. Bagi saya, apa yang Allah suruh itu sudah tentu mempunyai kebaikan yang banyak, yang jauh daripada pengetahuan kita.


Alhamdulillah, dengan izin Allah saya dapat menyempurnakan hak anak saya yang pertama hingga 10 bulan, yang kedua sehingga dua tahun penuh dan sedang menyusukan yang ketiga. (doakan saya mampu mengharungi cabaran lagi setahun 4 bulan)

Mungkin ada ibu yang berniat untuk menyusukan bayi dengan susu ibu, tetapi tertanya-tanya apa kelebihan menyusukan bayi dengan susu ibu ni? Bukankah sama je kalau kita beri anak kita susu formula sekalipun, dia tetap dapat khasiat yang sama? Sabar ibu, jom baca dulu...

1. Paling steril dan bersih

Susu ibu fresh, terus dari badan ke mulut. Ia tidak mungkin dihinggapi bakteria, kuman atau apa saja agen penyakit. Ia jauh daripada pencemaran dan kerosakan (melainkan ibu menyimpan stok susu dan cara kendalian susu adalah tidak bersih)

2. Susu ibu kaya antibodi

Ia berfungsi menguatkan sistem imun bayi. Terdapat beberapa antibodi yang cuma wujud dalam susu ibu. Kajian turut mendapati bayi yang menyusu susu ibu mendapat kurang jankitan berbanding bayi susu formula. Antara jangkitan yang biasa berlaku pada bayi ialah;

  • telinga
  • cirit birit
  • jangkitan pernafasan
  • meningitis
Susu ibu dapat melindungi bayi bayi daripada terkena alahan, asthma, diabetes, obesiti dan kematian mengejut (SIDS- sudden infant death syndrome).

3. Nutrien terbaik untuk bayi

Kerana ia mengandungi laktosa, protein whey dan casein, dan lemak yang sesuai untuk sistem penghadaman bayi yang masih belum matang.

Susu ibu juga mengandungi kesemua nutrien penting seperti vitamin dan mineral yang amat diperlukan oleh tubuhnya untuk membesar. 

Walaupun susu formula membekalkan vitamin yang sama, ia tidak dapat menandingi susu ibu kerana susu ibu sesuai untuk setiap bayi secara unik dan spesifik, tidak dapat di duplikasi.


4. Lebih mudah di hadam

Oleh itu bayi kurang mengalami cirit-birit atau sembelit. Sebab sifat mudah hadam inilah yang buat bayi amat suka 'mengempeng' atau melekat dengan ibunya kerana lapar, tetapi cepat kenyang.

5. Percuma

Ibu tidak perlu menyediakan sesen pun wang untuk menyusukan bayi (kecuali ibu bekerja perlu beli peralatan untuk simpan susu), sedangkan harga susu formula sentiasa naik. Oleh kerana bayi susu ibu juga jarang sakit, maka tidak banyak wang yang perlu dihabiskan untuk menampung bil rawatan.

6. Bayi mencuba pelbagai rasa

Oleh kerana bayi hanya minum susu ibu, maka apa yang ibu makan, turut di ambil oleh bayi. Dengan itu bayi lebih mudah menerima makanan kerana ia sudah 'biasa' dengan rasa makanan daripada susu ibunya.

7. Ibu cepat kurus!

Ibu yang menyusukan bayi membakar kira-kira 500 kalori setiap kali sesi penyusuan. Maka ibu yang mengalami pertambahan berat badan semasa hamil dan susah nak kurus, menyusukanlah bayi anda dengan senang hati. :)

8. Mudah lagi menyenangkan

Bayi boleh menyusu di mana-mana, tak perlu prepare barang-barang menyusu seperti botol, air panas, air sejuk, bakul dan sebagainya. Ibu menyusu paling mudah bersiap kalau nak berjalan! Selain itu ibu tak buang banyak masa untuk mencuci botol atau bangun tengah malam untuk bancuh susu.

9. IQ bayi lebih tinggi

Kerana kandungan DHA dalam susu ibu yang semulajadi terus sampai kepada bayi. Ada kajian menunjukkan bayi susu ibu mempunyai IQ (mungkin juga EQ) yang lebih tinggi berbanding bayi susu formula.

10. Hubungan kulit (skin-to-skin contact)

Sebagai ibu menyusu, satu perasaan bahagia apabila dapat mendakap bayi comel kesayangan lebih kerap. Ini dapat membina dan membangkitkan hubungan emosi antara ibu dan bayi. Sentuhan ini dapat meransang pengeluaran hormon endorfin dalam badan bayi yang akan meransang sel-sel tubuh untuk berfungsi dengan lebih baik.


11. Mempercepatkan pengecutan rahim wanita

Ibu lepas bersalin sangat digalakkan menyusukan bayi seawal yang boleh. Ini kerana hormon oksitosin yang dirembeskan dapat membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya ke bentuk asal.

12. Mengurangkan risiko terkena kanser payudara dan kanser ovari

Terdapat kajian menunjukkan ibu yang menyusukan bayi kurang terdedah kepada risiko mendapat penyakit seperti kanser payudara, tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit kardiovaskular, juga kanser uterus dan ovari.

13. Mencegah bayi daripada terkena kanser

Susu ibu mengandungi alphalactalbumin dalam jumlah besar, yang mana ia mengenali kewujudan sel-sel kanser dan bertindak membunuhnya.

14. Menjarakkan kehamilan

Biasanya ibu menyusu akan mengalami kedatangan haid yang agak lambat selepas bersalin. Ini membantu ibu untuk menjarakkan kehamilan dan merancang keluarga.

Memilih sama ada untuk memberi susu ibu atau susu formula kepada bayi adalah pilihan yang amat penting dan melibatkan keputusan yang besar. Kerana susu ibu adalah hak bayi yang mesti ditunaikan oleh setiap ibu.

Walaupun demikian, jika anda disarankan untuk memberi susu formula kepada bayi atas sebab-sebab kesihatan, kesukaran atau sebagainya itu lebih baik bagi anda.


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” 
-Surah Luqman: ayat 14

************

Perlukan bantuan dalam penyusuan atau ingin mencuba Set Menyusu Premium dengan harga berpatutan? Hubungi saya, Su 012-9645614 (ID 868994).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan