Ahad, 16 Ogos 2015

Checklist 14 Tugas Dan Peranan Suami Semasa Isteri Berpantang

Kemarin dah membebel pasal suami yang pentingkan diri sendiri je di saat isteri sedang sakit berpantang. Sampai isteri tu sikit lagi nak meroyan tengok perangai suami yang macam takde perasaan dan takde apa-apa berlaku.

Tiba-tiba ada pulak suami tanya,

"Habih tu ce habaq apa tugas yang ceq sebagai suami kena buat? Ceq tak taw nih. Ni first time ceq jaga baby dan isteri sendiri!"

Lepas melahirkan adalah satu tempoh yang memenatkan bagi seorang wanita. Dia sangat lemah keseluruhan tubuhnya termasuk fizikal, mental dan rohani.


Inilah saat di mana dia sangat perlukan sokongan dan bantuan orang-orang disekelilingnya sama ada suami atau ibubapanya sendiri.

Haa ni dia senarai tugas-tugas yang suami kena buat sepanjang isteri berpantang.

1. Buatkan sarapan untuk isteri

Bukan suruh jadi masterchef. Cuma bancuhkan milo dan bakar roti sebagai sarapan pagi isteri. Kira celik mata tu terus hidangkan sarapan untuk isteri.

2. Sediakan air panas atau air rebusan daun / herba untuk isteri mandi

Paling simple rebus je daun pandan, serai wangi atau daun sembong. Di galakkan mandi air panas atau rebusan dedaun ni selama seminggu hingga dua minggu lepas bersalin.

3. Tolong mandikan bayi

Jika tak mendapat bantuan daripada ibu/ ibu mertua, cuba-cubalah si ayah belajar untuk mandikan baby. Gunakan air suam dan jangan mandi pada waktu terlalu awal pagi atau terlalu lewat petang.

4. Tolong uruskan anak-anak yang lain

Anak-anak, kalau dia dapat adik baru, dia mula buat perangai. Meragam, asyik nak menangis dan serba tak kena. Dia rasa seolah-olah kasih-sayang daripada ibu dan ayahnya beralih arah. Sementara si ibu fokus dengan baby, ayah tolong uruskan keperluan anak, bawa dia berjalan, sukakan hatinya, bergurau atau bermain dengannya. Bukan hanya menonton tv 24 jam atau bersuka ria dengan kawan-kawan hingga akhirnya isteri yang sakit tu yang 'berperang' dengan anak.

5. Tolong isteri menguruskan diri

Pergerakan isteri sangat terbatas. Nak bangun dari tidur pun ambil masa sampai lima minit kadang tu. Nak angkat kaki sendiri pun tak mampu sebab tekanan pada urat pinggang dan pelvik.

Jadi suami tolong pakaikan stokin, tolong jadi tongkat untuk dia bangun atau duduk. tolong pakaikan barut, tolong selimut.

Simple je kan. Takkan itu pun nak berkira.

6. Tolong masak

Mungkin ada pasangan yang berpantang dirumah sendiri, dan malas nak menyusahkan ibu bapa. Jadi suami tolong sediakan makanan tengah hari untuk isteri.

Nasi panas, ikan salmon bakar, sup sayur, dan beberapa potong buah. Kalau tak tahu nak buat apa sangat, goreng je ikan talang dan tumbuk lada hitam. Huhu... Kalau google pun berlambak resepi berpantang boleh buat.

7. Tolong uruskan rumah

Misalnya sapu sampah, kemas mainan anak, basuh kain, jemur dan angkat kain. Tak hilang pun kejantanan kalau buat semua ni.

8. Tanya kalau isteri perlukan apa-apa

Kalau nak tahu, ibu menyusu ni cepat haus dan lapar. Sediakan makanan macam roti atau biskut kering, air kosong dan air panas berhampiran isteri.

9. Bakar tungku

Jangan tanya-tanya. Ambil je tungku, bakar dan letakkan berhampiran isteri. Lagi bagus kalau suami tolong angkat-angkatkan tungku yang berat tu supaya mudah isteri bertungku.

10. Sediakan vitamin dan set berpantang

Hospital akan bekalkan vitamin untuk keperluan ibu berpantang. Tujuannya untuk ibu rasa segar, bertenaga, dan tambah darah. Atau lagi istimewa beri isteri makan Set Berpantang Kekasihku Premium supaya isteri kuat, luka cepat baik, selamat untuk baby dan suami pun boleh makan sekali.

11. Gembirakan hati isteri

Cubalah buat-buat lawak, atau dengar isteri bercerita, dengar dia merungut untuk tenangkan hatinya.

12. Tenangkan baby yang menangis

Ada masa baby ni suka nangis kan. Dah bagi susu pun dia nangis lagi. Cubalah dukung baby tu, buaikan perlahan-lahan. Atau kalau rasa baby kembung, ambil minyak telon, sapu pada perut, belakang badan, labu betis dan kaki bayi sambil buat urutan perlahan.

13. Cukur rambut bayi

Boleh dilakukan pada hari ke-7 selepas kelahiran. Sunat dicukur rambut, di beri nama dan di lakukan akikah terhadapnya.

14. Carikan bidan mengurut

Kalau boleh, carikanlah bidan yang mampu mengurut, atau arif mengenai amalan berpantang lepas bersalin. Ada bidan yang boleh sediakan air panas untuk mandi, sediakan tungku, mandikan isteri, bertangas dan pakaikan barut lengkap. Mungkin bayarannya agak mahal. Ikutlah kemampuan masing-masing.

Sebenarnya, bukanlah susah sangat nak jaga isteri berpantang ni. Lagipun, bukan lama sangat kan? Dua minggu hingga sebulan je. Itupun bukan tiap-tiap tahun.

Sesekali memanjakan isteri, apa salahnya. Sedap sama-sama, biarlah sakit pun sama-sama. Tak gitu?

Tahniah dan syabas kepada semua suami-suami hebat yang bertanggung-jawab terhadap isteri kesayangan mereka!

Suami bijak, rumahtangga bahagia. InsyaAllah.

****************************

~Suhaila Budin~
012-9645614
ID: 868994

Sabtu, 15 Ogos 2015

Suami Jangan Pentingkan Diri Sendiri Bila Isteri Dalam Pantang

Bukan nak marah, tapi nak habaq mai jaa..

Sejak seminggu dua ni, emosi wanita saya bagai di carik-carik kalau terbaca kisah suami yang pentingkan diri sendiri ni. Nak marah tak boleh sebab laki orang kan, lagipun bukan saya kenal pun.

Tapi sebagai wanita, saya faham sangat perasaan isteri-isteri ni. Ada yang mengaku sangat tertekan, setiap hari menangis dan hampir meroyan disebabkan perangai suami.

Maaf cakap, suami kalau tak betul-betul jaga emosi dan perasaan isteri dalam pantang, jangan nak bajet suci yang awak tu suami mithali. Lepas tu mengadu isteri tak bagi layanan sepatutnya (walhal isteri tengah pantang), kemudian terus buat alasan nak kawin lain. Lagi teruk, ada skandal pulak dengan wanita lain. (Huii dah boleh tulis skrip drama aku ni)


Wahai lelaki yang bernama suami...

Sembilan bulan isteri tu mengandung bawa perut, zuriat awak. Dia menanggung mual, loya, muntah mabuk selama tiga bulan sampai lembik, sampai turun berat badan.

Berapa banyak kali pula kena marah dengan jururawat atau doktor sebab berat tak naik, hemoglobin rendah. Kena minum air gula sampai termuntah, yang awak sendiri tak tergamak nak minum.

Menanggung sakit belakang, sembelit, sakit pinggang macam nak tertanggal, sakit ari-ari sebab baby mengeras dan menendang. Belum lagi naik tekanan darah atau kena kencing manis sampai terpaksa suntik insulin sendiri.

Isteri dalam mengandung, tapi tak pernah penat menguruskan anak-anak dengan bawa perut yang beberapa kali ganda bertambah berat dari saiz asal. Mengejar si abang yang usia 3 tahun, melayan kerenah kakak yang 5 tahun. Ada pula si kecil 2 tahun yang selalu meragam dan menangis.

Isteri tu penat macam mana pun, buat kerja sampai bengkak-bengkak kaki tangan, marah dia simpan dalam hati je. Dia ikhlas sebab yang dikandungkan tu zuriat dia suami isteri berdua. Walaupun kadang-kadang terasa seperti di abaikan suami.

Wahai suami...

Tak tertanggung rasa sakit nak bersalin. Tiada kata-kata yang boleh gambarkan bagaimana rasa nak terkeluar segala urat saat meneran baby kalian berdua. Ada pula isteri yang di bedah untuk keluarkan zuriat dia, yang parutnya kekal sampai mati.

Berapa ramai pula isteri yang menanggung perasaan sedih dukacita, apabila melihat anak yang lahir tak sempurna. Tapi dia tetap kuatkan hati. Dia belajar menerima hingga akhirnya dia jatuh kasih pada anak syurga itu. Zuriat awak. Kamu.

Tahu tak suami, ada isteri hayatnya sampai disitu saja. Di katil dewan bersalin. Saat si kecil rindukan bau dan susu ibu tercinta, ibu yang dikasihi sudah tiada.

Ada pula isteri yang di khabarkan tidak dapat mengandung lagi. Rahim tertanggal. Rahim pecah. Rahim rosak.

Wahai suami...

Isteri tak minta banyak. Cukuplah tolong jagakan anak-anak sementara isteri berehat, berpantang. Itu tak sesusah berkejaran dengan anak sambil membawa beban berbelas kilo.

Tolong bancuhkan milo, sediakan roti untuk sarapan.
Tolong tanya kalau isteri lapar atau nak makan.
Tolong pakaikan stokin.
Tolong masakkan air panas untuk dia mandi.
Tolong jemur dan angkatkan kain yang mesin dah tolong basuh.
Tolong pinjamkan telinga untuk dengar rungutan dia.
Tolong buat dia tersenyum bila hati lara tidak di endah emak sendiri atau mertua.

Tak lama...paling lama sebulan. Malah ada yang lebih singkat dari itu.

Nanti...bila dia dah rasa sihat sikit. Walau rahim masih sakit. Walau pedih lagi luka berjahit, dia tetap gagahkan diri untuk buat semua. Sebab dia ibu, dia superwoman.

Kepada suami yang terasa seperti pentingkan diri sendiri. Minta maaf dengan isteri. Dia bukan suruh awak tolong bersalin. Dia cuma nak tempat untuk mengadu. Cuma nak di dengar.

Tolong isteri, sebab awak suami hebat!

*************************************

~Suhaila Budin~
012-9645614
ID: 868994





Jumaat, 14 Ogos 2015

Susu Sikit Sebab Badan Ibu Kurus Hanya Mitos!

Dalam berfikir-fikir nak tulis topik apa, tiba-tiba terlintas idea ini di kepala. Terus teringatkan kata-kata seorang ibu saudara beberapa minggu yang lalu,

"La (nama singkatan saya dalam keluarga) ni, badan kurus, tapi susu banyak"

Saya hanya senyum mendengar komen beliau.

Mungkin nampak pelik bagi sesetengah orang kalau nampak si ibu berbadan kurus kering tapi masih gagah mendukung bayi yang tembam dan menyusukan bayi dengan kerap. Cukup ke susu dia? Kesian mak dia sampai kurus kering anak duk hisap susu?


Kelakarnya saya juga banyak kali di tanya soalan macam ni. Seperti biasa, saya balas dengan senyuman dan ucapan Alhamdulillah je.

Sebenarnya betul ke saiz badan mempengaruhi jumlah pengeluaran susu?

Sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dan itu hanyalah MITOS!

Saiz badan, malah saiz payudara sekalipun, tidak akan mempengaruhi kuantiti susu yang dihasilkan. Saiz payudara dipengaruhi oleh tisu lemak manakala penghasilan susu dipengaruhi oleh saiz kelenjar mamari di dalam payudara.

Kelenjar mamari adalah sama tanpa mengira saiz payudara!




Jadi, tidak kiralah seorang itu bersaiz XS hingga XXXXL sekalipun, dia tetap mampu menyusukan bayinya.

Saiz kecil atau saiz besar bukanlah faktor utama sikit atau banyaknya pengeluaran susu dan juga bukan alasan untuk ibu tidak mahu menyusukan anak dengan susu ibu.

Jika ibu kurus dan penghasilan susu kurang, cuba periksa beberapa perkara seperti:

1. Bayi kurang diberikan susu

2. Ibu terlalu menghadkan tempoh penyusuan dan terlalu mengikut jadual

3. Lekapan yang tidak betul

4. Susu tidak dikeluarkan sepenuhnya dari payudara hingga kosong

5. Kurang pengambilan air

6. Mengambil perancang keluarga atau ubat-ubatan

7. Ibu terlalu stress dan tertekan, tidak yakin dan terlalu risau

8. Ibu mengandung semula (perubahan hormon)

9. Kekurangan nutrisi

10. Bayi yang letih, atau tidak sihat

Ibu janganlah berputus asa jika mendapati susu kurang, atau anak kurang menyusu.

Lakukan perkara berikut untuk meransang pengeluaran susu yang baik:

1. Menyusukan bayi sekerap mungkin

2. Susukan bayi hingga payudara kosong

3. Membetulkan lekapan mulut bayi pada payudara

4. Minum air yang cukup, sekurang-kurangnya 3 liter sehari dan yang terbaiknya ialah air suam

5. Makan makanan berkhasiat

6. Mengambil milk booster atau suplemen

7. Mengelakkan beri anak puting tiruan

8. Gunakan pam yang betul dan sesuai

9. Elakkan beri susu formula

10. Kurangkan stress dengan berdoa dan zikir

Alhamdulillah, walaupun saya dalam kategori underweight, syukur dapat juga menyusukan bayi dengan susu ibu secara direct feeding sehingga 2 tahun.

Kalau saya boleh, ibu tentu juga boleh! Cari lebih banyak ilmu, dan bergaul dengan ibu-ibu yang mempunyai misi yang sama dengan ibu.

Saya doakan semua ibu di dunia ini dapat menyusukan bayi dengan susu ibu kerana ialah yang terbaik untuk bayi kita!

Human milks for human babies...

Ibu bijak, anak sihat!

******************************************

Set Breastfeeding Manjaku Premium untuk melancarkan pengeluaran susu ibu boleh didapati melalui saya:

~Suhaila Budin~
012-9645614
ID: 868994

Rabu, 12 Ogos 2015

Tips Penting Memberi Makanan Pejal Untuk Bayi Yang Ramai Ibu Tak Tahu

Sebaik sahaja si manja memasuki usia 6 bulan, ibu pun teruja dan tak sabar-sabar nak beri anak makan. Terbayang resepi enak-enak yang sesuai untuk bayi dan ibu membayangkan si kecil makan dengan begitu berselera sekali.

Tetapi, apabila disuakan makanan, bayi menolak seolah-olah belum bersedia untuk makan. Ibu mula susah hati kerana risau jika bayi tak dapat khasiat daripada makanan itu.


Jangan sedih ibu... ada beberapa perkara yang mungkin ibu tak tahu atau sedar semasa memperkenalkan makanan pejal buat kali pertama untuk bayi.

1. Masak sendiri

Seeloknya, berikan makanan pertama bayi yang di masak sendiri, bukan makanan segera contohnya bijirin dalam tin.

Dengan memasak sendiri, makanan untuk bayi lebih selamat dan tidak mengandungi bahan kimia tambahan yang sangat tidak bagus untuk bayi. Selain itu ia dapat mengeratkan kasih-sayang antara ibu dan bayi.

2. Berikan makanan mudah hadam

Contohnya seperti puri buah-buahan, sayur-sayuran seperti labu, pisang, epal, brokoli atau lobak. Kisar halus supaya bayi boleh menelan dengan sempurna.

2. Campurkan dengan susu ibu!

Jika bubur atau puri terlalu pekat, ibu boleh campurkan dengan susu ibu. Selain kandungan khasiatnya yang lebih baik, rasa susu ibu lebih dikenali dan mudah diterima oleh bayi.

3. Elakkan gula dan garam

Jangan memasukkan gula atau garam dalam masakan bayi. Ini menyebabkan bayi tidak dapat mengenal rasa semulajadi makanan pertamanya.

Penggunaan gula akan mengganggu pertumbuhan gigi bayi. Biarkan rasa manis sayur atau buah-buahan sahaja sebagai perasa dalam masakan.

Lagipun, buah pinggang bayi belum bersedia memproses garam, gula, apa lagi sebarang perisa atau pewarna tambahan.


4. Makanan alahan

Elakkan makanan yang boleh menyebabkan masalah alergi seperti telur, kekacang, makanan laut, produk tenusu.

Makanan ini berkemungkinan menjadi pencetus tindak balas alahan kepada tubuh bayi seperti gatal-gatal, ruam, bengkak, muntah, cirit-birit dan sebagainya.

5. Jangan memaksa

Ibu jangan memaksa atau mendesak bayi untuk menerima makanannya pada satu-satu masa. Bayi mungkin menolak untuk makan dalam satu tempoh masa, dan mula berminat untuk makan beberapa lama kemudian.

Ibu jangan berputus asa, cuba pelbagaikan menu setiap hari dan berikan bayi makanan atau masakan yang paling dia sukai.

6. Pastikan bayi betul-betul lapar

Bayi selalunya lapar pada waktu pagi iaitu antara jam 10 hingga 11 pagi. Jika bayi baru bangun tidur, berikan sedikit susu supaya dia tidak terkejut menerima 'sarapan pagi'nya.

Ibu dinasihatkan untuk tidak memperkenalkan makanan baru pada waktu malam kerana ada bayi yang alah terhadap sesetengah makanan.

Jika berlaku sebarang perkara tidak diingini pada waktu siang, lebih mudah untuk ibu membawa anak untuk mendapatkan rawatan.

Last but not least, jadikan waktu makan sebagai waktu yang menyeronokkan. Jangan marah atau meninggi suara apalagi memukul jika bayi tak mahu makan.

Keadaan ini akan sebabkan bayi tertekan dan menganggap waktu makan adalah waktu yang tidak seronok dan menakutkan.

Ibu bijak, anak sihat!

******

Dapatkan set vitamin anak sihat pintar dengan menghubungi:

~Suhaila Budin~
012-9645614
ID: 868994


Selasa, 11 Ogos 2015

Awasi Alahan Makanan Berikut Kepada Bayi

Seorang ibu marah-marah apabila anak kecilnya tiba-tiba mengalami bengkak di seluruh badan, muntah-muntah serta demam secara tiba-tiba apabila anaknya memakan kek yang diberi oleh seorang saudara.

Saudara tersebut tidak mengetahui yang si kecil itu mempunyai masalah alergik atau alahan terhadap telur.

Ini situasi yang biasa berlaku. Malah ada juga ibu yang tidak mengetahui bahawa anaknya itu ada mengalami  masalah alahan terhadap makanan. Sehinggalah anaknya menunjukkan simptom alahan, dan akhirnya dirujuk kepada pakar, barulah ibu itu tahu yang anaknya ada alahan terhadap makanan tertentu.


Masalah alahan pada makanan ini sebenarnya bukan luar biasa. Lebih kurang 6-8%  kanak-kanak yang berusia di bawah enam tahun akan mengalami alahan makanan. Selebihnya mungkin hanya mengalami ketakserasian terhadap makanan.

Apa itu alahan makanan?

Alahan makanan berlaku apabila sistem imun tubuh bertindakbalas dengan protein yang wujud dalam sesetengah jenis makanan.

Sistem imun badan kita akan memberi tindak balas berlebihan terhadap protein makanan yang disebut sebagai alergen (apa-apa yang boleh mendatangkan alergi). Sejenis antibodi yang di panggil imunoglobulin iaitu IgE terlibat dalam tindak balas ini di mana, antibodi yang bertemu dengan alergen tertentu dalam makanan, akan melepaskan bahan kimia tertentu, maka tindak balas akan berlaku di mana wujudlah simptom-simptom seperti:

  • gatal dan ruam pada kulit diikuti pembengkakan
  • gatal dan bengkak pada bibir dan mulut
  • kejang perut
  • mual
  • muntah
  • cirit-birit
  • mata berair dan gatal
  • hidung berair dan tersumbat
Simptom atau gejala lebih serius yang mungkin boleh berlaku ialah seperti sukar bernafas, sakit dada, rasa tercekik, pening, dan kejang.

Bagaimana mengelak alahan makanan pada bayi

Caranya ialah dengan melambatkan proses memperkenalkan makanan yang berpotensi menyebabkan alahan kepada anak.

Jika ibu ingin memperkenalkan makanan pejal kepada bayi (selepas 6 bulan dan ke atas), berikan hanya dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu.

Jika ibu mengesan sebarang simptom atau gejala, berhentikan memberi makanan tersebut, dan bawalah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.


Berikut ialah senarai makanan yang sering menjadi penyebab kepada alahan:


1. Susu lembu atau susu soya

Perut bayi tidak dapat menerima laktosa atau protein daripada susu lembu atau soya. Masalah ini sangat biasa di alami oleh kanak-kanak. Selalunya anak akan mengalami cirit-birit yang teruk, muntah-muntah diikuti demam.

2. Telur

Bayi tidak digalakkan diberi makan telur kerana telur mengandungi bakteria salmonella.

3. Madu

Madu juga tidak boleh diberi kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun kerana madu mengandungi botulisme

4. Ikan

Ikan atau makanan laut yang lain juga sering menjadi punca alahan. Selalunya akan menyebabkan gatal-gatal dan pembengkakan di bahagian tertentu atau seluruh badan.

5. Kekacang dan kerang-kerangan

 Pakar paediatrik menyarankan ibu bapa untuk tidak memberi anak mereka makan kekacang atau kerang-kerangan selagi belum berusia dua tahun.

Makanan ini boleh menyebabkan serangan anafilaksis iaitu tindakbalas abnormal badan terhadap antigen tertentu.

6. Strawberi

Ramai tidak menyangka bahawa ada sesetengah kanak-kanak alah kepada strawberi . Alahan strawberi boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami ruam pada pipi, dan sekitar mulut, dan adakalanya boleh sebabkan bengkak sekitar mulut, bibir, tekak dan muka.

Pakar paediatrik menyarankan strawberi hanya boleh diberi kepada bayi berusia 12 bulan ke atas.

7. Gandum

Alahan terhadap gandum boleh menyebabkan cirit-birit, kekeringan, gatal pada kulit  dan kepala. Biasanya ia disebabkan oleh protein gluten yang wujud dalam gandum.

Kanak-kanak alah gandum perlu mengamalkan diet yang bebas gluten (gluten free foods).

Alahan, walaupun biasa kadang-kadangkala boleh menyebabkan masalah lebih serius seperti melibatkan nyawa.

Ibu mesti berhati-hati dan mengawasi pemakanan anak-anak. Ingatkan juga saudara-mara atau sesiapa saja untuk tidak memberi sebarang makanan jika mendapati anak-anak ada mengalami alahan makanan.

Ibu bijak, anak sihat!

********

Dapatkan vitamin anak sihat pintar dengan menghubungi:

~Suhaila Budin~
012-9645614
ID:868994