Enter Keyword

Kenapa Boikot Shaklee??

"Sebab saya tengok orang boikot, saya pun boikot la..."

Deng! Ketuk kepala sendiri 5 kali.

Ketuk #1

Kesian..mudahnya terpedaya. Inilah akibat tiada ilmu. Firman Allah S.W.T,

"Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan" Surah Al-Hujurat: ayat 6.

Allah telah ajarkan kita, apa saja berita yang sampai ke telinga kita, selidik dahulu untuk mengetahui kebenarannya. Kerana ditakuti apa yang kita dengar/baca itu suatu fitnah. Amat malang kalau kita sendiri menyebarkannya sedangkan kita sendiri pun tidak pasti duduk sebenar perkara tersebut.

Jangan hanya disebabkan si penyampai seorang alim, ustaz, doktor, profesor atau apa sahaja pangkat di depan namanya, maka kita anggap semuanya benar. Ingat, yang terpelihara daripada dosa dan kesalahan itu cuma Rasulullah S.A.W sebab baginda dibimbing wahyu.

Masalahnya sangat ramai, malah amat-amat ramai yang tidak mengikut panduan Allah ini. Saya memerhatikan sejak sekian lama, apa sahaja berita 'panas' dalam media sosial, Facebook terutamanya, cepat sahaja disebarkan. Beberapa hari kemudian, barulah keluar cerita yang sebenar.

Apa faedahnya kita menjadi penyebar berita palsu? Ingin menambah saham pahala atau dosa?

Ketuk #2

Malas mencari kebenaran. Ini penyakit kronik yang melanda umat manusia akhir zaman ini. Semua berita di terima bulat-bulat. Lain halnya dengan orang berilmu dan beriman. Cuba tengok siapa yang menyebar berita-berita palsu terutamanya untuk meraih publisti dan glamer?

Amat kesal apabila ramai terlibat dengan penyebaran ini termasuk juga blogger. Oh, saya lupa. Blogger juga manusia. Yang sukakan pujian dan perhatian, tanpa pedulikan kebenaran.

Cuba pandang pula orang2 berilmu, dan bijak pandai..jarang sekali mereka melibatkan diri dalam penyebaran maklumat tidak berasas seperti ini. Anda boleh 'follow' Facebook mereka seperti Prof. Muhaya, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustaz Abu Anas Madani, Dr. Mohd Asri (Dr. MAZA) dan ramai lagi pendakwah terkemuka.

Di mana nak cari kebenaran? Banyak membaca dan bertanya kepada ahlinya. Jika tidak puas dengan jawapan si pertama, tanya lagi kepada orang kedua sehingga kita sendiri puas hati dengan jawapan mereka.

"Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara)" Surah An-Nahl : ayat 43

Ketuk #3

Cepat menjatuhkan hukum. Apa lagi jika ia bersangkutan dengan sesuatu perkara terutama berkenaan agama. Ini halal, itu haram, ini dosa, itu pahala. Tebal sangatkah ilmu di dada kita?

Hukum halal haram jelas termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah. Rujuklah dulu mereka yang benar-benar pakar dan ilmuwan dalam bab agama, yang telah berguru dengan ramai guru dan ulama. Bukan hanya merujuk Profesor Google atau Doktor Facebook sahaja.

Setiap perkara ada penjelasannya. Bukan sahaja yang tersurat malah yang tersirat yang kadang-kadang tidak tercapai oleh akal kita yang terbatas ini.

Seperti Surah An-Nahl di atas, ia mengajar kita agar beradab dalam menjatuhkan hukuman dan keputusan. Jangan terburu-buru atau mudah menjatuhkan hukuman dan keputusan tanpa terlebih dahulu bertanya kepada orang-orang yang arif. Ini kerana setiap orang ada keahliannya, maka hormatilah keahliannya dengan saksama.

Ketuk #4

Menyimpan kebenaran.

Ibarat lalat dan langau, yang busuk-busuk cepat sahaja dihidu. Sudah hinggap, membawa pula kotoran dan hinggap pada objek lain.

Tetapi apabila datang kebenaran dan penjelasan, ia dibiar sepi tanpa ada yang berminat untuk menyebarkannya. Lagi teruk apabila kita buat-buat tak tahu, dan buat-buat tak nampak padahal sebelumnya konon kitalah jaguh dalam menyampaikan kebenaran.

Semoga kita tidak tertimpa laknat Allah atas habuan dunia yang sedikit.

Ketuk #5

Malas menuntut ilmu.

Sama halnya dengan mencari kebenaran. Tetapi dengan ilmu yang dimiliki, kita akan dapat menapis maklumat yang sampai kepada kita sejak awal lagi. Sumber ilmu itu ada di mana-mana. Lebih baik dapatkan ia daripada buku yang bermanfaat atau berguru secara terus.

Memang ada perbezaan antara orang berilmu dan orang kurang berilmu dalam menerima sesuatu maklumat/berita. Orang berilmu dan beriman akan lebih tenang, tidak terburu-buru, mencari penjelasan dengan cara paling berhemah dan beradab, tidak menyebabkan kekacauan, tidak menyebabkan orang-orang lain terasa di zalimi.

Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman yang amat mendalam maksudnya ini:

Ilmu bukan terletak pada jumlah guru, tersohornya guru, kitab yang dihabiskan, matan yang dihafaz, riwayat yang di ungkap, sijil yang dimiliki, semua itu hanya PINTU sahaja, namun ilmu SEBENAR adalah berapa banyak:-

  • yang DIAMALKAN sendiri
  • yang DIGUNAKAN untuk memandu ummah kepada kasih sayang dan redha Allah
  • yang DIGUNAKAN untuk memandu keluarga, rakan, saudara-mara dan masyarakat kepada cintakan kebaikan dan menghindari permusuhan
  • yang mampu MENGURANGKAN tohmahan dan prasangka buruk kepada sesama yang lain
  • yang ilmunya bukan hanya digunakan dalam bab ibadah khusus tetapi hal kenegaraan, politik, kehidupan seharian, dan kerjaya harian
  • yang MENINGGIKAN AKHLAK dan bukan menyombongkan
Bermula hari ini, mari kita rajinkan diri menuntut ilmu, mendengar ceramah, berguru, membaca bahan bacaan bermanfaat, dan mengamalkan ilmu yang kita ada itu dalam kehidupan seharian.

"Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" Surah Al-Mujadilah: ayat 11.



* Segala isu berkenaan Shaklee dan penjelasannya, anda boleh rujuk link berikut:


**Saya bertanggungjawab atas penulisan saya. Segala yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan