8 Cara Menangani Anak Suka Bergaduh - Teknik Nabi

Assalamualaikum wbt.

Sudah menjadi lumrah dalam keluarga yang ramai adik-beradik akan riuh-rendah dengan pergaduhan. Terutama kalau anak masih kecil dan masing-masing sedang dalam fasa 'egocentric' yang meninggi.

Rumah tak pernah lekang dengan suara menjerit, berebut, bergaduh, mengadu dan sebagainya. Masing-masing nak menang dan tak mahu mengalah. Kalau tak kena gaya, silap-silap mak pun bertukar warna jadi lampu isyarat; kuning, merah, hijau!


Ada ibu bapa yang tak boleh dengar suara bising-bising macam ni. Cepat saja darah mendidih dan naik ke kepala. Tapi, sebagai orang yang dah mempunyai anak, kita haruslah ingat, bergaduh dan berebut adalah fitrah manusia apalagi anak-anak kecil. Kena belajar tahan telinga dan sabar menghadapi kerenah anak kecil ini.

Walaupun agak sukar pada awalnya, insyaAllah dengan sedikit tip dan teknik, kita akan dapat menangani isu anak bergaduh dengan cara yang paling baik dan tenang.

#1. Biarkan saja!

Kita menganggap bergaduh adalah satu kesalahan. Dengan itu cepat saja kita nak menghukum dan memarahi anak-anak kita. Buat-buat tidak melihat dan tidak mendengar mereka bergaduh. Cuma perhatikan dari jauh agar ia tidak berakhir dengan kekasaran.

Dengan bergaduh, anak-anak belajar menyelesaikan dan menangani konflik dalam diri mereka sendiri serta orang lain.

Ibu bapa tidak perlu masuk campur melainkan keadaan bertambah teruk atau anak sudah memanggil.

#2. Jangan melebihkan sesiapa

Ibu dan ayah selalu kata, "Abang kena mengalah, abang kan dah besar. Adik kecil lagi". Jika kita melebihkan salah seorang daripada mereka, anak yang seorang lagi akan jatuh self-esteem, berasa dia di rendahkan dan ibu ayah tidak adil terhadapnya.

Keadilan adalah untuk semua anak-anak kita sama rata.

Lebih baik jika ibu dan ayah mengatakan,

"Abang dan adik main sama-sama. Ibu suka tengok abang dan adik main sama-sama, gilir-gilir. Allah pun suka." (Beritahu teknik gilir-gilir : 5 minit abang, kemudian 5 minit lagi adik pula)

#3. Tidak memarahi dan meninggikan suara

Jika pergaduhan tidak terkawal lagi, alihkan perhatian anak-anak dari perkara yang mereka rebutkan.

Elakkan menjerit, memarahi dan menengking kerana ia akan menyebabkan anak berasa tertekan malah semakin ego (untuk berlawan dengan kita pula).

#4. Terus berikan jalan penyelesaian

Jika anak-anak berebutkan sesuatu, beritahu terus jalan penyelesaian dengan jelas. Contohnya jika anak berebut basikal.

"Abang main dulu sampai lima kali pusing, kemudian adik pula lima kali pusing"

Ulang teknik ini setiap kali anak-anak ingin bermain permainan yang sama. Lama-kelamaan anak akan belajar itulah cara yang betul dan adil untuk bermain dan anak-anak tanpa sedar akan belajar kemahiran berbincang dan menyelesaikan masalah.

#5. Bersabar dan bertenang

Walau apa keadaan sekalipun, ibu dan ayah hendaklah banyak bersabar dan sentiasa tenang. Anak-anak mencontohi sikap kita. Kalau kita jenis baran, sikit-sikit nak melenting, tak mustahil anak juga akan mengikut sikap dan perangai kita itu.

Walau dalam keadaan marah sekalipun, kuatkanlah hati untuk berlagak tenang dan cool terutama di hadapan anak-anak.

#6. Sentiasa puji anak

Contohnya apabila anak mula mengalah, mencari jalan penyelesaian dengan sendiri, puji serta merta dengan kuat di hadapan adik-beradiknya.

Contoh ayat, "Bagus abang pandai main dengan adik. Main macam ni yang ibu suka. Ibu sayang, Allah lagi sayang".

#7. Tunjukkan empati kepada perasaan anak-anak, tetapi setkan limitasi

Setiap anak berhak menyuarakan perasaannya kepada kita dan sebagai ibu bapa kita harus memberitahu apa yang sepatutnya dilakukan.

Contoh jika anak mengadu tentang adik-beradiknya yang lain, ibu boleh kata,

"Ya ibu faham perasaan adik. Adik boleh main dengan abang, tapi tak boleh pukul abang. Adik minta dengan abang bila abang dah siap main"

#8. Tidak menuduh atau menyalahkan

Walau ibu dan ayah tahu siapa yang memulakan pergaduhan, tahanlah diri daripada cuba menyiasat mencari kesalahan anak, memarahi, menuduh dan menyalahkan mereka.

Perbuatan ini hanya akan menjatuhkan maruah anak. Apa yang ibu dan ayah boleh lakukan ialah menerangkan saja peraturan yang betul dan ditujukan secara umum, bukan secara spesifik kepada anak yang melakukan kesalahan.

Tegur kesalahannya, bukan dirinya.

Membesar dan mendidik anak perlukan ilmu. Saya berpesan kepada diri sendiri kerana anak-anak ini amanah. Salah acuan, salahlah bentuknya.

Kita ibu bapa ialah jendela pertama bagi anak-anak untuk melihat dunia.

Dunia yang mana? Kita sendiri yang menentukannya.

Salam sayang!

Puan Suhaila Budin
012-9645614
butik.annajah@gmail.com
ID:868994

Tiada ulasan:

Catat Ulasan