Pakaian Solat Ready Menyelamatkan Waktu Solat Kita
Assalamualaikum w.b.t
Semasa Aidilfitri yang lalu, saya dan geng sekolah berkumpul dan kami beraya dari rumah ke rumah. Sampai waktu Zohor, kami segera ke surau yang kebetulan berdekatan dengan rumah salah sorang kawan kami.
Selesai mengambil wuduk, terus saja saya ke ruang solat wanita. Agak terkejut saya kerana tidak ada sehelai telekung pun disitu dan saya pula tidaklah membawa telekung sendiri.
Jarang benar surau atau masjid di tempat kita tidak menyediakan keperluan solat terutama untuk wanita. Alhamdulillah mujur saja ketika itu saya memakai baju lengan panjang, skirt labuh yang tebal juga stokin. Alhamdulillah saya boleh bersolat seperti biasa.
Di belakang saya ada seorang makcik yang sebelum itu keluar semula daripada surau untuk mengambil stokin juga.
Bersolat tanpa telekung masih agak janggal daripada pandangan orang sekeliling kita. Begitu juga dengan saya pada mulanya kerana kita tak biasa. Mungkin sama halnya dengan bersolat di jalanan atau bukan tempat yang dikhususkan untuk solat seperti surau dan masjid.
Tapi saya sering melihat foto kawan-kawan yang berada di luar negara bersolat tanpa telekung malah mereka bersolat dimana-mana saja tempat yang bersih. Yang penting kewajipan solat itu mesti diutamakan dan bagi wanita pakaian yang sah di bawa solat perlu dititik beratkan.
Ye lah, kalau berada diluar negara khususnya bukan negara Islam, siapa pula nak provide kemudahan seperti itu.
Sebenarnya Islam cukup mudah. Solat juga mudah. Cuma sesetengah kita rasa 'tak boleh solat' kalau tanpa telekung. Disinilah pentingnya kita memakai pakaian yang menutup aurat dan solat ready setiap masa jika tidak berada di rumah.
Pengalaman ini sebenarnya tarbiah yang berguna juga untuk saya. Sentiasa pastikan diri menutup aurat sesempurna mungkin apabila hendak keluar rumah. Kita boleh solat bila-bila masa (sebaik masuk waktu) dan di mana-mana.
Dan sebenarnya inilah pengalaman pertama saya solat tanpa telekung. Mungkin pelajaran pertama sebelum Allah izinkan saya ke luar negara kelak (101 impian). Siapa tahu kan? Allah selalu menyediakan kita sebelum di ujinya kita dan sebelum kita sendiri tahu apa yang Allah telah rancangkan untuk kita kelak.
Wallahua'lam.
Salam sayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan